Perlis dari sifar kes Covid-19, kini cecah 50 - Utusan Malaysia

Perlis dari sifar kes Covid-19, kini cecah 50

PERLIS yang kerap merekodkan sifar kes Covid-19 sebelum ini mula menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes Covid-19. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Entah mana silapnya, Perlis yang sebelum ini kerap merekodkan sifar kes Covid-19 berubah dengan peningkatan ketara jumlah kes wabak berkenaan, sekali gus mencetus kebimbangan rakyat di negeri ini.

Hari ini, Perlis merekodkan 50 kes baharu iaitu angka tertinggi pernah dicatatkan sejak tercetusnya pandemik Covid-19 tahun lalu.

Perkembangan tersebut cukup membimbangkan di saat Perlis sudah menikmati sedikit kebebasan dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berbanding ngeri lain, mungkin jumlah tersebut jauh lebih kecil, Namun jika diukur dengan keluasan Perlis sekitar 815 kilometer persegi dan penduduk lebih kurang 200,000 orang, peningkatan berterusan seperti itu amat menggerunkan.

Berikutan peningkatan jumlah kes itu, Perlis kembali kepada zon merah selepas sekian lama berjaya mengekalkan status zon hijau.

Setakat semalam, jumlah kes aktif di Perlis merekodkan 218 dengan kes terkumpul pula sebanyak 960 selain melibatkan 13 kematian.

Kuala Perlis terus menjadi penyumbang terbesar jumlah kes iaitu sebanyak 57 kes diikuti Sanglang (36); Chuping (24); Beseri (15); Wang Bintong (16); Utan Aji (12); Sena (11) dan kawasan-kawasan lain masing-masing bawah 10 kes.

Sikap segelintir individu menyembunyikan sejarah perjalanan ke negeri zon merah serta rentas negeri dipercayai menjadi antara punca peningkatan ketara jumlah kes Covid-19 di Perlis kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang menzahirkan rasa bimbang dengan
perkembangan tersebut tidak menolak kemungkinan kes positif di Perlis akan meningkat secara luar biasa.

“Saya percaya majoriti rakyat di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang peningkatan kes positif. Bagaimanapun ada sebilangan kecil yang tidak mengambil serius soal pematuhan SOP,” katanya.

Sementara itu, Azlan menasihatkan rakyat di negeri ini untuk terus kekal mematuhi SOP selain mengelak diri daripada keluar rumah walaupun Perlis sudah beralih ke fasa tiga PPN.

“Lebih penting, elakkan daripada bertemu sesiapa sahaja walau pun ahli keluarga terdekat dalam sedikit masa ini. Daripada maklumat yang saya peroleh, orang ramai sudah mula rasa takut untuk keluar rumah sekarang kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Janganlah disia-siakan kebebasan bergerak dan kegiatan ekonomi yang lebih meluas dalam fasa tiga PPN ini dengan gagal mematuhi SOP,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN