Percepat vaksinasi untuk ibu mengandung - Utusan Malaysia

Percepat vaksinasi untuk ibu mengandung

RINA Mohd. Harun (tengah) menyerahkan cek kepada wakil Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar dekat Parit hari ini. - UTUSAN//MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu mengandung perlu dipercepatkan dan golongan itu perlu diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sehingga kini, hampir 150,000 ibu mengandung telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus sudah pun menerima vaksin.

“Saya harap ibu mengandung yang telah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera terus diberikan keutamaan kerana saya difahamkan ada hampir 150,000 ibu mengandung telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Tetapi, sehingga sekarang, lebih kurang 60 peratus daripada mereka telah mendapat vaksin dan kita harap keutamaan diberikan kepada ibu mengandung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Projek Rintis Penyumberan Luar (ASD) di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini hari ini.

Menurut Rina, sebelum ini kerajaan memberikan keutamaan kepada golongan wanita yang kandungan mereka berusia 14 hingga 33 minggu untuk menerima suntikan vaksin untuk melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, beliau berharap agar lebih ramai lagi ibu mengandung tampil dan terus mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Setiap daripada kita wajib bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri kita dan orang lain di sekeliling.

“Saya berharap bukan sahaja ibu, tetapi, suami juga memainkan peranan penting. Ingatlah, vaksin yang diberikan ini bukan sahaja untuk isteri, tapi juga anak dalam kandungan,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Projek Rintis ASD di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini, Rina berkata, ia merupakan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan pusat penjagaan warga emas.

Menurutnya, projek rintis pertama itu akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia yang melalui proses saringan ketat sebelum menerima peruntukan sebanyak RM494,400 dalam merealisasikan hasrat kerajaan melalui ASD ini.

“ASD ini bertujuan untuk kita menggembleng tenaga dan bekerjasama dengan badan NGO kerana kita tahu mereka yang dipilih ini mempunyai kepakaran tertentu dari segi pengurusan, ilmu serta pengalaman dalam mengendalikan program atau rumah khas untuk penjagaan warga emas ini.

“Di samping dari segi ilmu, pengalaman, ia juga dapat memberi penjimatan kepada pihak kerajaan di mana kita lihat bahawa kos operasi berkurangan sebanyak 30 peratus, jadi ini win win situation,” katanya.

Menurutnya, keberhasilan projek rintis tersebut akan dinilai selepas enam bulan ia dikendalikan oleh NGO terlibat bagi melihat keberkesanannya sebelum diputuskan untuk dikembangkan atau tidak.

“Kita akan lihat keberkesanan selepas enam bulan dan jika kita lihat keberkesanan itu bertepatan dengan matlamat asal ASD ini diadakan, maka ia akan diperluaskan lagi di rumah-rumah seri kenangan ataupun pusat institusi kita yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya