Peniaga butik cuba bisnes makanan - Utusan Malaysia

Peniaga butik cuba bisnes makanan

SUHAIMI Ismail (dua,kiri) melayan pelanggan di kafenya di hadapan Jalan Harmoni di Bagan Serai. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Lebih setahun tidak dapat menjalankan perniagaan butik pengantin disebabkan wabak Covid-19, Suhaimi Ismail, 48, tiada pilihan selain menerokai perniagaan lain sebagai sumber pendapatannya.

Kini dia mencuba perniagaan menjual pelbagai jenis nasi dan chicken chop di kafe di hadapan butiknya di Jalan Harmoni di sini.

Menurutnya, walaupun pendapatannya tidak seberapa namun menerusi perniagaan itu dia dapat membayar kos penyelenggaraan premis butiknya dan membayar gaji pekerjanya.

“Setahun lebih tidak dapat berniaga butik memang tempoh yang amat sukar. Namun saya cuba bertahan daripada gulung tikar apatah lagi saya sudah menceburi perniagaan ini sejak 18 tahun lalu.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 setiap bulan untuk kos penyelenggaraan butik pengantin termasuk sewa bangunan dan membayar gaji pekerja.

“Setahun lebih butik ini tidak boleh beroperasi, sudah tentu ia memberi kesan yang amat mendalam kepada perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Suhaimi mengakui semakin minat terhadap perniagaan makanan yang dijalankan sekarang.

Katanya, malah dia berhasrat untuk meneruskan perniagaan itu walaupun suatu masa nanti operasi butik dibenarkan semula untuk membuka perniagaan.

“Saya akan teruskan perniagaan makanan ini malah bercadang untuk membuka sebuah cafe pada waktu yang sesuai dalam tahun ini untuk mempelbagaikan ekonomi perniagaan saya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN