KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru kerajaan mengisi jawatan-jawatan di kementerian yang masih mempunyai kekosongan sejak 2018 kerana angka pengambilan 26,000 masih belum mencukupi.
Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara itu perlu diisi penuh supaya perkhidmatan kerajaan dapat digembleng sepenuhnya dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat untuk kembali pulih dalam sektor ekonomi.
Katanya, perjawatan yang wujud masa kini juga belum dilakukan pengisian penuh, apatah lagi pengambilan 26,000 itu sebaliknya untuk mengisi kekosongan persaraan dan kematian anggota.
“Cuepacs merasakan (jumlah) 26,000 bukan satu jumlah yang besar, malah sebaliknya ia masih belum mencukupi.
“Ini dapat dilihat dalam data yang ada, kebanyakan pengisian di jabatan-jabatan kerajaan adalah di antara 82 hingga 92 peratus pengisian daripada keseluruhan perjawatan yang wujud.
“Maka, ada lagi lapan peratus setiap jabatan yang belum diisi, yang benar-benar kosong, tetapi tidak diisi berikutan dasar pengecilan saiz perkhidmatan awam yang diperkenalkan pada 2018 dan dimansuhkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melaporkan kekosongan perjawatan anggaran kira-kira 26,000 kakitangan awam diisi di pelbagai jawatan yang bersara setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas.
Jumlah kekosongan itu tidak termasuk purata tambahan kira-kira 300 hingga 500 penjawat awam yang dibuang kerja setahun susulan tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka disebabkan pelbagai kesalahan selepas proses siasatan dilakukan.
Menurut Adnan, sememangnya SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengisi terlebih dahulu kekosongan yang disebabkan oleh persaraan sama ada persaraan wajib, pilihan dan kematian, namun kerajaan perlu melihat kembali kekosongan yang wujud dan belum diisi.
“Ini bermakna waran yang wujud telah diluluskan oleh kerajaan, tetapi belum diambil tindakan oleh jabatan dan ini juga perlu diisi segara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










