Peneroka tanam sendiri tiada masalah tandatangan perjanjian inisiatif pelupusan hutang - Utusan Malaysia

Peneroka tanam sendiri tiada masalah tandatangan perjanjian inisiatif pelupusan hutang

SHAMSOR Mat Jedi (tengah) menandatangani perjanjian pelupusan hutang di hadapan Idris Jusoh (kiri) di Felda Anggerik Jengka Satu di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tiga peneroka Felda Anggerik Jengka Satu di sini berbangga menjadi antara individu bertuah dapat menandatangani perjanjian pelupusan sebahagian hutang di hadapan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka terbabit, Shamsor Mat Jedi, 58, berkata, dia tertarik untuk terus bersama Felda setelah mendapat penjelasan secara peribadi dan terperinci daripada Idris sempena lawatan kerjanya ke rancangan itu kelmarin.

Menurutnya, dia antara golongan peneroka yang tidak bersama Felda dan tiada hutang dengan agensi itu tetapi tertarik dengan terma perjanjian baharu yang bersifat ‘menang-menang’.

“Berdasarkan perjanjian awal terma dan isi perjanjian lebih memihak kepada Felda tetapi kini peneroka yang menyelenggara sendiri ladang dibenarkan meneruskan mengambil alih ladang dengan syarat-syarat tertentu,” katanya di sini kelmarin.

Shamsor berkata, walaupun dia tidak bersama Felda sebelum ini tetapi semua hasil sawit dihantar ke kilang sawit milik agensi berkenaan.

Katanya, ‘cinta dan kasih’ terhadap Felda tetap kekal tetapi dalam jangka panjang pengurusan ladang biarlah diuruskannya seperti dipersetujui dalam perjanjian.

Seorang lagi peneroka di situ, Kamal Abdul Rahman, 56, yang juga tiada hutang dengan Felda mengakui insentif pembiayaan tanam semula kelak begitu menarik untuknya bersama Felda.

Menurutnya, dia dibenarkan meneruskan pengurusan ladang tetapi semua input ladang seperti benih kelapa sawit dan lain-lain termasuk penjualan hasil wajib dibeli dan dijual kepada Felda.

“Saya bersetuju kaedah bagi mewujudkan satu sistem pengurusan ladang lestari yang diuruskan mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Beliau yakin dengan kualiti benih sawit Felda kerana agensi itu mempunyai Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak di Jerantut yang membuat kajian benih bermutu.

Menurutnya, sebelum ini peneroka yang tanam sendiri ladang terpaksa membeli benih sawit dari pihak swasta kerana Felda tidak menjualnya kepada mereka yang tidak bersama agensi berkenaan.

Seorang lagi peneroka, Sakiran Sathepot, 60, mengakui lega dan berbangga dapat menandatangani perjanjian di hadapan Pengerusi Felda sendiri yang hadir dalam lawatan kerja ke tanah rancangan berkenaan.

“Saya tetap berterima kasih kepada Felda dan kerajaan Pahang yang sentiasa peka dengan kebajikan peneroka,” katanya yang berasal dari Johor.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya