Penduduk Pulau-Pulau di Mersing capai imuniti kelompok - Utusan Malaysia

Penduduk Pulau-Pulau di Mersing capai imuniti kelompok

PENDUDUK di Mukim Pulau-Pulau, daerah Mersing yang hadir menerima dos kedua di Pulau Besar, Mersing di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Penduduk di Mukim Pulau-Pulau, Mersing di sini berjaya mencapai imuniti kelompok selepas 100 peratus masyarakat di situ menerima vaksin lengkap sempena program vaksinasi dos kedua hari ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Dr. Norzaher Ismail berkata, pemberian dos kedua itu melibatkan 1,000 penduduk di lima kepulauan di daerah itu.

“Untuk hari ini, kita ada program vaksinasi melibatkan dos kedua di pulau di mana ada lima pulau yang kita pergi melibatkan tiga pasukan.

“Sasaran 100 peratus penduduk dan pekerja-pekerja melibatkan pelancongan di Mersing telah disuntik dos kedua sekali gus mencapai imuniti kelompok,” katanya ketika ditemui di Pulau Besar hari ini.

Norzaher berkata, setakat ini, tiada masalah membabitkan penduduk di pulau yang menolak menerima suntikan vaksin.

Katanya, ia berikutan tahap kesedaran dan juga kerjasama amat baik melibatkan sektor pelancongan, pejabat daerah, Mersing Tourism Association (MTA) sehingga tiada penduduk pulau yang ketinggalan menerima vaksin.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau-Pulau/ Tenggaroh Daerah Mersing, Muhammad Nur Fahmi Zulkifli berharap, dengan tercapainya imuniti kelompok itu akan kembali merancakkan sektor pelancongan di mukim pulau-pulau.

“Kita ucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan kerana telah melengkapkan dos kedua vaksin melibatkan semua penduduk di mukim pulau-pulau.

“Secara tidak langsung kita telah berjaya mencapai imuniti kelompok dan kita bersedia terima kehadiran pelancong bila-bila masa jika ia dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN