PUTRAJAYA: Pemilihan Perdana Menteri paling ketat dalam sejarah negara ini menunjukkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menangani krisis politik supaya ia tidak terus berpanjangan.
Perkara itu jelas terbukti apabila Seri Paduka Baginda menitahkan supaya Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia sekali gus memberi ruang lebih luas untuk Perdana Menteri tersebut menambahkan sokongan kepada beliau, termasuklah dengan cara menjadikan pentadbiran lebih inklusif dan akomodatif sepertimana dititahkan.
“Saya amat optimis bahawa dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda yang bersungguh-sungguh mahu memastikan permasalahan yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi, pembentukan sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil akan dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya di sini semalam.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir pula berkata, keabsahan pelantikan Perdana Menteri di Parlimen adalah satu tindakan amat baik bagi menentukan secara tuntas dan muktamad supaya tidak diragui pelantikan itu dan seterusnya dapat membentuk kerajaan yang betul-betul stabil dan kukuh.
Justeru, katanya, semua pihak terutama parti-parti politik perlu akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong demi meletakkan negara di atas landasan betul bagi memungkinkan masalah kesihatan dan ekonomi dapat ditangani sebaiknya tanpa lagi terganggu dengan ketidaktentuan politik.
“Semua parti politik harus berjiwa besar dan menunjukkan watak peribadi sebagai seorang pemimpin yang ulung untuk menjadi contoh kepada rakyat kerana kita sudah terlalu lama dalam krisis politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, keabsahan kali ini tidak boleh lagi dipertikai kerana akuan bersumpah (SD) setiap ahli Parlimen diambil kira dan melihat kepada kepercayaan ahli Dewan Rakyat untuk melantik Perdana Menteri.
Katanya, Perdana menteri yang dilantik harus berupaya membuktikan beliau mempunyai kepercayaan ahli Dewan Rakyat selain daripada SD.
“Cara ini baik supaya semua ahli Parlimen dari pelbagai parti jelas untuk tidak lagi bertelingkah kerana kuasa, tetapi bersedia bermuafakat untuk mengurus krisis berganda negara iaitu kesihatan, ekonomi dan politik dengan aman,” katanya.
Al-Sultan Abdullah semalam menitahkan supaya perdana menteri kesembilan yang dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau. – UTUSAN ONLINE










