Pejabat Pos, 15 rumah rosak dilanda ribut di Mentakab - Utusan Malaysia

Pejabat Pos, 15 rumah rosak dilanda ribut di Mentakab

ABAS Abdul Rahim menunjukkan bumbung rumahnya yang terbang ke rumah jiran dalam kejadian ribut yang melanda tiga kampung di Mentakab di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pejabat Pos dan 15 buah rumah di tiga buah kampung di Mentakab di sini mengalami kerosakan teruk akibat dipukul angin ribut dan hujan lebat, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu melibatkan Kampung Batu Kapor, Kampung Gajah Mati dan Kampung Sungai Buluh yang menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kencang.

Angin kencang turut menyebabkan dua batang pokok ketapang menimpa bumbung bangunan Pejabat Pos Mentakab kira-kira pukul 6 petang di luar waktu pejabat.

Ketua Balai Bomba Mentakab, Harisham Mat Tahar berkata, sebuah kenderaan dan 10 anggota serta seorang pegawai dikerah untuk memotong dahan pokok di bumbung bangunan berkenaan hari ini.

“Bagaimanapun, kerosakan Pejabat Pos Mentakab agak minimum kerana hanya bahagian dahan hujung pokok menghempap bangunan,” katanya di sini hari ini.

Seorang mangsa yang juga Ketua Kampung Batu Kapor, Mat Rasul Yurit, 58, berkata, kejadian ribut serta hujan lebat itu yang disifatkan sebagai kepala angin hadir ketika dia dan ahli keluarga berehat di rumah.

Menurutnya, angin kencang menyebabkan seluruh bumbung rumah diterbangkan angin menyebabkan mereka sekeluarga basah kuyup.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan lebih RM10,000 kerana banyak barangan rumah rosak.

“Saya baharu membaiki rumah ini yang rosak ditenggelami banjir awal tahun ini dengan kos RM16,000,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Abas Abdul Rahim, 78, berkata, ketika kejadian, dia sempat melihat kayu alang rumah patah dalam sekelip mata sebelum semua bumbung diterbangkan angin bersama atap zink.

Menurutnya, dia bersama seorang anak lelaki, Risman yang berusia 46 tahun basah kuyup kerana bumbung rumah diterbangkan ke rumah jiran.

“Kerugian dianggarkan RM40,000 membabitkan kos bumbung dan kerosakan peralatan elektrik seperti televisyen, kipas dan perabot,” katanya.

Sementara itu, Tok Siak Masjid Kampung Gajah Mati, Ariffin Mohamad, 63, berkata, ketika kejadian, dia berada di masjid dan dapat melihat angin kencang, hujan lebat dan ribut.

“Sejak mendiami kampung ini lebih 30 tahun, inilah kejadian ribut yang disusuli hujan lebat yang agak luar biasa menyebabkan beberapa rumah rosak teruk,” katanya yang juga pesara tentera. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN