KLANG: Seorang lelaki nekad memecut kenderaan sejauh kira-kira 20 kilometer (km) bagi mengelak ditahan ketika dikejar polis dari daerah ini ke Shah Alam, semalam.
Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, suspek berusia 47 tahun yang memandu kereta Suzuki Swift meloloskan diri selepas dikesan mencurigakan di Jalan Beringin, Pelabuhan Klang, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, anggota polis yang melakukan rondaan kemudian cuba menahan suspek dengan membunyikan hon dan memasang lampu biru.
Katanya, lelaki yang berstatus penduduk tetap (PR) itu bagaimanapun enggan berhenti dan terus memecut kenderaan memasuki kawasan sebuah taman perumahan.
“Anggota kita dengan bantuan beberapa unit kereta peronda (MPV) mengekori kereta tersebut melalui Persiaran Raja Muda Musa sehingga Lebuhraya Persekutuan dan menghala ke Shah Alam.
“Kereta suspek kemudian berjaya ditahan di Jalan Bayam Dua, Seksyen 24, kira-kira pukul 8.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Shamsul Amar, pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut berada dalam kereta tersebut.
“Kedua-dua suspek ditahan dan kereta berkenaan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Lelaki tersebut melarikan diri akibat takut ditahan kerana membawa rakannya yang tiada dokumen perjalanan,” katanya.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek lelaki turut memiliki rekod jenayah berkaitan kes dadah, judi dan kecuaian.
“Permohonan reman hanya dibenarkan selama sehari oleh Mahkamah Klang hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE