KOTA BHARU: Seramai 914 pelajar terpilih di negeri ini ibarat diberi nafas baharu untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas menerima peranti baharu bersama perkhidmatan internet percuma selama tiga tahun, sumbangan Petronas.
Antara penerima ‘hadiah’ istimewa tersebut ialah Raja Fakhrulshah Raja Abdullah Zawawi, 15, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh, Kuala Krai yang mengakui semangatnya untuk belajar kini berkobar-kobar.
Anak kepada seorang pemandu itu memberitahu, dia sebelum ini hampir putus asa untuk menimba ilmu menggunakan kaedah norma baharu apabila sering berdepan pelbagai masalah setiap kali mahu mengikuti sesi PdPR.
“Di samping talian internet yang tidak stabil, kapasiti telefon pintar milik saya ada kalanya tidak mampu menanggung bebanan penggunaan sehingga kerap terpadam tiba-tiba. Akibatnya, sesi pembelajaran saya sering terputus.
“Selain itu banyak kerja sekolah saya tertangguh dan tidak sempat disiapkan. Dengan adanya peranti baharu, saya sudah boleh menghantar tugasan diberikan guru mengikut masa yang ditetapkan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman berkata, sumbangan peranti tersebut disalurkan melalui program Cerdik diperkenalkan Yayasan Petronas dengan peruntukan RM30 juta membabitkan 12,000 pelajar dari seluruh negara.
“Selain peranti baharu dilengkapi kemudahan data internet, para penerima turut menikmati perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun sesi akademik,” katanya.
Terdahulu beliau mengadakan sesi pertemuan secara maya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Para penerima sumbangan terdiri daripada 175 pelajar SMK Sultan Ismail, Kota Bharu; SMK Long Yunus, Bachok (171 pelajar); SMK Machang (158 pelajar) serta SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang (152 orang)
Turut menerimanya, 126 pelajar SMK Keroh, Kuala Krai; SMK Kuala Balah, Jeli (68 pelajar) dan SMK Batu Melintang, Jeli (64 pelajar).- UTUSAN ONLINE