KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berada pada kedudukan yang selamat.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan petanda jelas bahawa kerajaan memerintah masih berada di kedudukan yang selamat.
“Perdana Menteri juga menyatakan usul undi percaya akan dibentangkan bagi mengesahkan keabsahan beliau semasa persidangan Parlimen pada 6 September ini dan kita akan membuat undian.
“Seluruh Kabinet (menteri) berada di belakang beliau (Muhyiddin) dan kita yakin bahawa Perdana Menteri akan kekal memiliki majoriti,” katanya selepas program jerayawara vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Marak-Parak, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, PBS akan kekal menyokong Muhyiddin dan PN dan kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS juga akan terus bekerja keras bagi menyokong kepimpinan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah.
“PBS akan terus menyokong Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Bagi kami, keutamaan harus diletakkan kepada usaha menangani Covid-19.
“Oleh itu, rakyat Sabah disaran untuk kekal bertenang biarpun berlaku kemelut politik di peringkat Persekutuan,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, pembangkang dilihat sengaja membuat kacau dalam persidangan Parlimen baru-baru ini bagi mengganggu usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.
“Situasi ini jelas menunjukkan usaha menangani Covid-19 bukan keutamaan pembangkang. Mereka hanya dahagakan kuasa dan ingin terus menimbulkan kekacauan, mereka bukan sahaja mengganggu persidangan Parlimen tetapi, turut membantutkan usaha kerajaan menangani wabak ini,” katanya.
Jelas Maximus, bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan baik, ia memerlukan kestabilan untuk membolehkan usaha pemulihan ekonomi serta meningkatkan kebajikan rakyat dapat dilakukan.
Maklum balas rakyat di peringkat akar umbi menunjukkan mereka sudah letih melihat taktik pembangkang yang kerap bermain politik dan mahu keadaan di negara ini kembali stabil. UTUSAN ONLINE









