SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk mewujudkan pasukan Pertolongan Cemas (First Aid) Emosi dalam komuniti bagi menangani isu kemurungan dan masalah emosi dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pasukan first aid itu akan bertindak bagi memberikan kaunseling kepada mana-mana individu yang mengalami masalah terutama sewaktu penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Pasukan first aid emosi perlu ada dalam setiap komuniti bagi membimbing di samping memberi kaunseling kepada mereka yang terkesan
“Saya sekarang sedang advokasi perkara ini sebab kita pernah dengar first aid untuk kecederaan tetapi dalam tempoh menghadapi pandemik ketika ini, kita perlu first aid untuk emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat seorang wanita yang dilaporkan mengalami tekanan dan kemurungan teruk selepas diceraikan suami dalam tempoh berpantang di Flat Taman Semarak 2, Nilai di sini hari ini.
Jelas Lee Koon, skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) yang sedia ada ketika ini akan diperluaskan fungsinya bagi menubuhkan pasukan first aid emosi berkenaan.
Sementara itu, dalam lawatan tersebut, beliau memaklumkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut meluluskan bantuan kanak-kanak berjumlah RM600 setiap bulan kepada wanita itu.
Media baru-baru ini melaporkan seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami tekanan dan kemurungan teruk selepas diceraikan suami.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun itu hampir bertindak membunuh diri namun berjaya diselamatkan oleh jiran dalam kejadian Jumaat lalu.
Wanita yang mempunyai tiga orang anak berusia 4 dan 2 tahun dan seorang lagi berusia 17 hari telah diceraikan suami pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak bongsunya.
Kisah mengenai wanita berkenaan tular di media sosial Tiktok menerusi satu video yang dikongsikan mendakwa seorang suri rumah cuba membunuh diri di sebuah rumah flat di sini.
Wanita itu berjaya diselamatkan oleh jiran yang memegang tangannya sebelum sempat terjun dan apabila disiasat wanita itu baru diceraikan suami.- UTUSAN ONLINE