Pas Terengganu tidak tergugat, kekal teguh bersama PN - Utusan Malaysia

Pas Terengganu tidak tergugat, kekal teguh bersama PN

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pas Terengganu tidak tergugat dengan penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri diterajuinya tetap teguh bersama kepemimpinan Perdana Menteri.

Katanya, walaupun ada segelintir pihak yang mendakwa mempunyai lebih sokongan untuk membentuk kerajaan, namun hakikatnya blok dipimpin Muhyiddin merupakan blok terbesar pada masa ini.

“Situasi ini macam pasaran saham, pukul 10 pagi ada nilaian tertentu dan 30 minit kemudian nilainya mungkin lain, jadi kita tunggu dan lihat dari semasa ke semasa perkembangannya.

“Bagaimanapun, blok yang dipimpin Perdana Menteri merupakan blok terbesar berbanding blok lain yang membuat pelbagai andaian bagi pihak lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat dengan menambah lagi seksaan baru untuk kepentingan politik dan peribadi mereka hingga sanggup mengheret parti dan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN