PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) semalam memperakukan keputusan pada tahun lalu berhubung hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang terdiri daripada para mufti dan ahli-ahli dilantik Majlis Raja-Raja diadakan semalam menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, muzakarah turut mengambil ketetapan berhubung kepentingan pengambilan vaksin bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Muzakarah juga menasihatkan kepada semua umat Islam untuk mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung hal ini,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau semalam.
Keputusan penggunaan vaksin untuk umat Islam diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa MuzakarahMKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu.
Zulkifli berkata, beliau turut menerima beberapa aduan berkenaan para suami yang tidak mengizinkan isterinya yang hamil untuk menerima vaksin.
Dalam hal itu, beliau menegaskan, vaksin Covid-19 adalah selamat dan menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan.
“Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin Covid-19,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam memberitahu tentang peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dengan sepanjang Jun lalu, 17 kes kematian direkodkan. – UTUSAN ONLINE










