PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) disarankan memulakan perancangan untuk memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas kesihatan awam dan swasta selepas negara berjaya menyelesaikan pemberian vaksinasi kepada populasi dewasa tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kumpulan pertama petugas kesihatan yang telah menerima vaksinasi lengkap mencapai tempoh masa enam bulan adalah pada bulan depan.
Menurut beliau, kebimbangan penularan pantas varian baharu di seluruh negara dan di kebanyakan negara lain di dunia boleh merisikokan para petugas kesihatan dan berkemungkinan dijangkiti Covid 19 dengan komplikasi serius sekiranya dos awal tidak lagi berkesan.
“Kejayaan negara dalam menguruskan pandemik adalah bergantung kepada keselamatan dan kesihatan para petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, laporan JKJAV merekodkan sehingga semalam sebanyak 41.6 peratus telah lengkap vaksinasi dan dijangka negara mampu mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus populasi dewasa sudah menerima vaksin dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, adalah lebih baik kajian keberkesanan dilaksanakan dan potensi imuniti hasil vaksin dos penggalak termasuk menggunakan vaksin ‘heterologous’ (campuran vaksin) boleh berkesan mengatasi mutasi berbeza.
Justeru, kata beliau, pihaknya berbesar hati untuk mencari kaedah bersesuaian bagi pemberian dos penggalak kepada petugas kesihatan dan pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan sektor swasta dengan menetapkan mekanisme pemberian dos penggalak itu selepas diluluskan kelak.
“Pemulihan ekonomi sangat bergantung kepada langkah berhati-hati yang diambil sekarang bagi mengelak berlaku gelombang seterusnya jangkitan wabak dengan pelaksanaan lock down.
“Setelah pekerja kesihatan dilindungi secukupnya setelah dos vaksin penggalak yang diusulkan, ia memperoleh masa mencukupi untuk memperluaskan pemberian dos penggalak kepada masyarakat awam terutama golongan rentan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, segala keputusan yang bakal dibuat adalah berdasarkan hasil pembuktian kajian yang diterbitkan mengenai dos penggalak itu memandangkan banyak negara sudah memulakan langkah itu. -UTUSAN ONLINE










