PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedih apabila terdapat beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepadanya dalam keadaan beliau dan rakan-rakan Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik Covid-19.
Menurut beliau, ini menimbulkan keraguan tentang keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah.
“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan ahli Parlimen dalam kerajaan PN yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen,” ” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara hari ini.
Beliau melahirkan perasaan agak sedih dan dukacita dengan perkembangan politik yang sedang berlaku mutakhir ini.
“Sebagai seorang manusia, saya tentunya tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan. Apa lagi dalam keadaan saya sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.
“Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan saya dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis,” katanya. -UTUSAN ONLINE