PUTRAJAYA: Masyarakat Islam di negara ini khususnya remaja lelaki dinasihatkan supaya menjauhi perbuatan melamar wanita dicintainya itu secara terbuka di depan khalayak ramai.
Perkara ini disuarakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi akaun sosial rasminya semalam bagi menjawab soalan mengenai adakah tindakan itu bercanggah hukum syarak.
Melalui jawapan Irsyad Al-Fatwa siri ke-550 dalam dua pautan masing-masing versi bahasa Melayu dan Inggeris, pejabat itu malah memaklumkan ia bukan pun amalan budaya Islami.
“Bahkan, bukan budaya masyarakat Melayu dan tidak dianggap perbuatan terpuji kerana Islam sangat angkat tinggi hak penjagaan maruah kehormatan individu di khalayak,” katanya.
Pada masa sama, tindakan melutut sebelah kaki itu menyerupai amalan yang disebut sebagai ‘genuflexion’ dalam agama Kristian ketika ritual ibadat di gereja sejak zaman dahulu lagi.
Sebaliknya, Islam mengajar lamaran itu dibuat melalui wali yang memberi ruang masa cukup kepada wanita bagi mempertimbangkan pinangan tanpa perasaan tertekan atau terdesak.
Hal ini ujarnya, kita tidak boleh tahu keadaan sebenar emosi dan minda wanita itu pada waktu tersebut, walhal dalam Islam, setiap individu memiliki hak buat keputusan secara peribadi.
“Justeru, jika melamar terbuka depan orang ramai, kita seolah-olah letak keputusan besar dalam hidup seorang wanita hanya pada waktu yang singkat untuk terpaksa terima,” katanya.
Menurut ulama terkenal, Prof. Dr. Sheikh Wahbah Mustafa al-Zuhaili dalam kitab masyhurnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Islam ada cara membuat lamaran atau pun dirujuk khitbah.
Kaedah itu dengan si lelaki yang sudah bersedia memilih seseorang menjadi isterinya perlu memaklumkan hasrat kepada wanita tersebut dan disusuli pemberitahuan kepada keluarga.
Proses pinangan boleh dilbuat secara terus daripada lelaki itu atau melalui keluarganya, sama ada dalam bentuk zahir jelas atau kiasan, dan wanita tersebut bukan tunangan orang lain.
“Namun kaedah melamar wanita secara terbuka di khalayak pula berkait rapat dengan menyerupai gaya hidup amalan bebas budaya Barat yang tidak diiktiraf pun oleh syarak,” jelasnya.
Selain itu, pinangan berkenaan akan memberi tekanan kuat kepada kedua-dua pihak sama ada lelaki dan perempuan untuk segera memberi jawapan tanpa ada kerelaan jujur dari hati.
Sedangkan dalam Islam, wanita berhak menolak dan ada hak memilih pasangan hidup, malah pernah berlaku Rasulullah SAW sendiri membatalkan perkahwinan bukan atas kemahuan.
Pejabat mufti tersebut seterusnya berpendapat, apa yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW itu membuktikan baginda tolak penikahan dalam keadaan terpaksa atau tanpa persetujuan. – UTUSAN ONLINE