PETALING JAYA: Memiliki sepasang mata berwarna biru bukanlah dianggap berpenyakit, tetapi fenomena biasa melibatkan pemindahan genetik oleh ibu bapa kepada anak dilahirkan sebagai faktor utama.
Pakar Perunding Kanan Oftalmologi & Kornea dan Pembedahan Lasik dari Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Prof. Datuk Dr. Veera Ramani berkata, individu yang mempunyai warna mata biru mempunyai kelebihan dari segi kecantikan.
“Perkara ini boleh berlaku disebabkan genetik menerusi keturunan bapa jika dirujuk kepada kes tular baru-baru ini mengenai dua beradik dari Baling, Kedah yang mempunyai mata berwarna biru.
“Kebiasaan warna mata kebanyakan individu di Malaysia adalah coklat. Genetik yang dominan diperoleh daripada bapa atau ibu boleh menentukan jantina, warna mata serta warna rambut anak yang dilahirkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan dua beradik, Umi Aqilah Ahmad Zailani, 18, dan adiknya, Mohamad Safwan, 12, menjadi perhatian ramai kerana memiliki sepasang mata berwarna biru yang diwarisi daripada bapa mereka, Ahmad Zailani Dolah, 51.
Ibu Ahmad Zailani, Siti Aishah Ismail, 75, memberitahu, anak dan dua cucunya itu mendapat mata berwarna biru berkemungkinan daripada keturunan moyangnya, iaitu nenek dan nenek saudaranya.
Sementara itu, Dr. Veera berkata, apabila kromosom telur ibu membawa kromosom-XX dipadankan dengan sperma bapa dengan kromosom-X dan kromosom-Y, akan menghasilkan penentuan jantina XX XY.
Menurutnya, genetik bapa yang dominan selalunya akan menentukan ciri-ciri bayi yang akan lahir kerana kromosom ibu adalah sama, iaitu XX.
“Iris mata penduduk di Asia biasanya berwarna coklat atau coklat gelap dan di Afghanistan pula, penduduk di sana mempunyai campuran warna biru dan hijau.
“Di negara Barat seperti Itali, penduduk di sana mempunyai warna mata cerah seperti biru. Mungkin susur galur keturunan bapa mereka berasal dari negara tersebut menyebabkan dua beradik tersebut bermata biru,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










