PUTRAJAYA: Dataran Pahlawan Negara sekali lagi menjadi tumpuan utama jutaan rakyat bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2021 dalam suasana norma baharu tahun ini.
Mengekalkan tema sama tahun lalu, Malaysia Prihatin, perayaan bersejarah edisi ke-64 itu turut buat julung kali menggunakan teknologi adunan realiti maya menerusi stesen TV1 RTM.
Ia juga dapat disaksikan penonton termasuk warga Malaysia di seluruh dunia secara langsung melalui laman sosial rasmi Merdeka 360 selain platform pelbagai agensi penyiaran tempatan.
Seperti tahun lepas, sambutan dibuat dalam skala kecil tanpa penonton sebagai pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun, kemeriahan tetap dirasai dengan penampilan empat anggota menteri kanan yang baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
Juga hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Buat kali pertama, dua personaliti terkenal masing-masing dari RTM dan TV3, Syuhaida Ariffin dan Ahmad Fedtri Yahya ditampilkan penganjur menjadi hos bersama sambutan di dataran.
Acara bermula dengan lagu kebangsaan, Negaraku dan menaikkan bendera Jalur Gemilang diikuti ikrar Rukun Negara oleh tujuh petugas barisan hadapan dipimpin Luqman Alhaqim.
Ia disusuli laungan Merdeka! tujuh kali dengan tapak tangan kanan dibuka sebagaimana yang dilakukan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka pada 1957.
Sambutan tersebut kemudian diteruskan lagi dengan aksi persembahan Drumline oleh 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut melakukan tujuh formasi yang berbeza.
Ini diikuti pula pertunjukan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan Lumut lengkap bersenjata dengan bayonet sambil diiringi pancaragam pasukan berkenaan.
Meneruskan persembahan lagu patriotik ialah pancaragam gabungan pasukan beruniform terdiri 80 anggota termasuk ATM, polis, bomba, maritim, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam.
Kemuncak sambutan di dataran tersebut ‘dihidangkan’ aksi pertunjukan udara oleh sejumlah pesawat pengangkut dan siri demonstrasi formasi jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia.

Acara diakhiri dengan persembahan lagu ‘Menang Bersama’ ciptaan Datuk Mokhzani Ismail yang dinyanyikan oleh artis Faizal Tahir sebagai lagu tema sambutan sederhana pada kali ini.- UTUSAN ONLINE