Mageran antara cadangan stabilkan politik negara - Utusan Malaysia

Mageran antara cadangan stabilkan politik negara

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah  berkenan menyapa petugas media yang menunggu di dalam hujan dari kenderaan rasminya sejurus tiba di pintu utama Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam. - UTUSAN AMIR KHALID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Majlis Gerakan Negara (Mageran) merupakan antara cadangan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja sebagai antara satu usaha penyelesaian krisis dan ketidakstabilan politik dihadapi tanah air ketika ini.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, perkara itu telah diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober tahun lalu setelah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terumbang-ambing kerana parti-parti di dalam gagasan itu dilihat tarik-menarik antara satu sama lain khususnya ketika kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Selaku pihak terlibat mengusul cadangan berkenaan, beliau menjelaskan, Mageran perlu diwujudkan memandangkan tidak ada parti tunggal mempunyai majoriti kukuh di Dewan Rakyat dan untuk berhadapan pandemik virus Covid-19 memerlukan satu platform untuk mentadbir negara tanpa campur tangan politik.

“Namun untuk menubuhkan Mageran, perlu diisytiharkan Proklamasi Darurat dengan kuasa diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sekali gus bagi memberi kuasa kepada majlis itu menerusi undang-undang ordinan.

“Mageran tidak boleh terlibat langsung dan dikaitkan dengan mana-mana parti politik termasuk dari segi keanggotaanya bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan agresif,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika mengulas lanjut perkembangan cadangan itu, beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu melangkaui keputusan Majlis Raja-Raja.

Katanya lagi, beliau tidak menolak perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja dan hanya menunggu masa untuk mendapat perkenan raja-raja Melayu.

“Saya tidak boleh melangkaui keputusan institusi beraja, segalanya terserah kepada kebijaksanaan raja-raja Melayu,” jelas.

Dalam pada itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan Mageran perlu ditubuhkan segera dan darurat perlu diisytiharkan agar majlis itu diberi kuasa selaras undang-undang ordinan tanpa campur tangan politik sekali gus memberi ruang untuk mentadbir negara dengan berjalan lancar.

Ujar beliau, Mageran boleh berfungsi selama enam bulan atau berlarutan sehingga setahun dengan bergantung kepada keadaan Covid-19 dan pilihan raya umum boleh diadakan selepas darurat tamat kelak.

“Namun ia tidak bermakna Parlimen tidak boleh berfungsi, sebenarnya dengan segala langkah dibuat Mageran, ia boleh dibincangkan dan dibahaskan oleh setiap wakil rakyat sekali gus mencerminkan amalan demokrasi masih dijamin meskipun Mageran dan darurat diwujudkan,” katanya.

Mohamed Haniff berpandangan Mageran perlu diketuai oleh seorang tokoh negarawan yang bebas daripada mana-mana pengaruh politik dan tidak mempunyai kepentingan politik bagi meraih simpati sokongan rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN