Libatkan kami – NUTP - Utusan Malaysia

Libatkan kami – NUTP

AMINUDDIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu turut dilibatkan dalam perbincangan mengenai cadangan pembukaan sekolah mulai September ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, walaupun mempunyai 230,000 ahli, ke­satuan itu tidak pernah dipanggil memberi pandangan dalam apa-apa isu berkaitan pembukaan sekolah.

“Sebenarnya, NUTP yang mewakili suara akar umbi patut diberi ruang secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan bagi menyampaikan permasalahan guru-guru di sekolah.

“Pihak kami menghantar surat rasmi kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, memohon agar pembukaan sekolah ditangguhkan disebabkan beberapa faktor termasuk sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Aminuddin berkata, selain itu, bilangan kes positif Covid­-19 mencecah 20,000 kes juga perlu diberi perhatian.

Malah, katanya, tinjauan NUTP menunjukkan ramai ibu bapa memutuskan tidak menghantar anak ke sekolah walaupun dibuka nanti kerana bimbang berikutan kadar vaksinasi yang mencapai 40 peratus tidak menjamin mampu mengelakkan kewujudan kluster pendidikan nanti.

“Kami berharap proses vaksinasi 100 peratus guru dan kakitangan sekolah dipercepat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menangguh dan memikirkan semula pembukaan sekolah September ini.

“Kita bimbang kes Covid-19 tinggi dengan kematian akibat varian Delta dan Lambda. Malah, suntikan vaksin belum diberi penuh kepada pendidik dan kakitangan sokongan sekolah termasuk pelajar.

“Pihak kami mencadangkan PdPR diteruskan kerana kemasukan sekolah tidak lama, malah keputusan peperiksaan PdPR tahun lalu cemerlang berbanding lima tahun sebelumnya.

“Kerajaan perlu menambah baik akses capaian internet ke seluruh negara terutamanya di pedalaman dan luar bandar selain keperluan peranti bagi pelajar yang berkongsi serta meningkatkan mutu dan kemahiran guru melaksanakan PdPR,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN