BUKIT MERTAJAM: Seramai 33,139 pengusaha premis perniagaan am dan industri khususnya di Seberang Perai bakal mendapat manfaat hasil pembangunan Sistem Pengurusan Lesen Interaktif dan Bersepadu (SPEEDBiz) oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pembangunan sistem lesen baharu itu dibuat selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta keperluan yang mendesak ketika era pandemik Covid-19.
Terdahulu, katanya, MBSP telah membangunkan dua buah sistem untuk menguruskan permohonan lesen perniagaan iaitu Sistem Lotus dan Sistem e-Lesen 2.0 yang merupakan sistem pengurusan yang ditambah baik daripada sistem pertama.
“Sistem pelesenan baharu ini mula dibangunkan tahun lepas oleh syarikat Happy Icon yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam membangunkan pelbagai sistem berkaitan di Pulau Pinang.
“Selain memendekkan dan mempercepatkan proses kerja, mempercepatkan kelulusan permohonan lesen dan mengurangkan kerenah birokrasi, sistem ini juga dapat memastikan perkhidmatan berkaitan beroperasi seperti biasa walaupun tanpa kehadiran orang awam ke MBSP terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Rozali berkata, antara kelebihan sistem itu adalah boleh diakses di mana-mana termasuk menggunakan telefon pintar selain pemohon atau peniaga tidak perlu lagi mengisi borang secara manual di kaunter-kaunter milik MBSP.
Pada masa sama katanya, permohonan lesen juga tidak memerlukan pemohon atau peniaga menyediakan dokumen fizikal dan mereka boleh menyemak status serta mencetak sendiri tanpa perlu ke pejabat MBSP.
Dalam pada itu Rozali memberitahu, pembangunan sistem tersebut secara menyeluruh iaitu melibatkan pelbagai modul lesen dan permit perniagaan bagaimanapun hanya dijangka siap sepenuhnya November ini.
Tambah Rozali, semua permohonan berkaitan lesen perniagaan am dan industri itu boleh dibuat menerusi laman sesawang speedbiz.mbsp.gov.my. -UTUSAN ONLINE