Krisis air Terengganu pulih sepenuhnya esok - Utusan Malaysia

Krisis air Terengganu pulih sepenuhnya esok

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) melawat Tangki Air Berangan di Kuala Nerus, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Krisis air membabitkan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di daerah ini dan Kuala Nerus sejak 12 hari lalu, pulih sepenuhnya esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkembangan itu susulan kerja-kerja pembaikan paip pecah di dasar Sungai Terengganu yang disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal.

“Bekalan air mula disalurkan kepada golongan terjejas secara berperingkat mulai pukul 12 tengah hari tadi.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu termasuk syarikat-syarikat air negeri lain, pihak berkuasa tempatan (PBT), Dewan Undangan Negeri (DUN), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agensi-agensi di samping parti politik sama ada Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta sukarelawan,” katanya dalam sidang akhbar di Tangki Air Berangan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan Ahli Lembaga Pengarah Satu, Burhanudin Hilmi Mohd.@Harun.

Ahmad Samsuri berkata, pembentukan jawatan kuasa khas diketuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sudah dibentuk untuk menyiasat punca kerosakan paip utama Tangki Air Berangan dan hasil penemuan bakal didedahkan selepas tempoh siasatan selesai 27 hari lagi.

Dalam perkembangan sama, katanya, aktiviti mengorek pasir di kawasan berdekatan paip bocor itu sudah dihentikan buat sementara waktu sehingga mendapat laporan penuh jawatan kuasa khas siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN