KPWKM komited libatkan semua pihak dalam pembangunan dasar sosial negara - Utusan Malaysia

KPWKM komited libatkan semua pihak dalam pembangunan dasar sosial negara

MAZIAH Che Yusoff berucap sempena majlis penutup Simposium Wanita Negara 2021 secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited melibatkan seramai mungkin pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan dasar-dasar sosial negara khususnya berkaitan dengan kumpulan sasar kementerian.

Menurut kenyataan, pihak kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mengadakan Simposium Wanita Negara (SWN) 2021 dengan tema ‘Merealisasikan Pemerkasaan Wanita’ secara dalam talian bermula 23 Ogos hingga semalam.

“Terdahulu, JPW juga melaksanakan Konvensyen Pemimpin Muda bermula 16 sehingga 18 Ogos lalu secara dalam talian melibatkan seramai 350 peserta terdiri daripada mahasiswa pusat pengajian tinggi, pihak swasta dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Justeru, input, idea konstruktif dan cadangan yang dibincangkan sepanjang simposium ini akan dimanfaatkan untuk menghasilkan satu resolusi sebagai asas semakan dan penambahbaikan Dasar Wanita Negara sedia ada,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu turut memetik ucapan penutup SWN 2021 oleh Ketua Setiausaha KPWM, Dr. Maziah Che Yusoff iaitu agenda pemerkasaan wanita diterajui oleh KPWKM akan terus menjadi salah satu agenda penting negara yang memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak bagi menjayakannya.

Maziah menjelaskan, dalam Belanjawan 2021, sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan melalui TEKUN, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan AgroBank ditawarkan bagi memperkasa usahawan wanita.

“Selain itu, RM50 juta turut disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu Biznita.

“Program bimbingan keusahawanan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga disediakan yang mana memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe.

“Peruntukan berjumlah RM7.4 bilion yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar turut memberi ruang dan potensi untuk wanita mengembangkan perniagaan secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, enam bidang utama yang menjadi asas kepada perbincangan dalam simposium ini telah dipilih dan diberi keutamaan iaitu pendidikan, kepimpinan, kesihatan, keselamatan dan perundangan.

Pertemuan selama tiga hari itu berjaya mengumpulkan kira-kira 500 peserta daripada pelbagai latar belakang terdiri daripada ahli akademik, wakil agensi kerajaan, syarikat korporat, NGO, individu mewakili golongan rentan dan orang perseorangan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN