KPDNHEP rampas 232 termometer tiruan bernilai RM25,720 - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 232 termometer tiruan bernilai RM25,720

PENGUAT KUASA KPDNHEP menyerbu dua lokasi berasingan di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana didapati menjual termometer tiruan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Taktik peniaga menjual termometer disyaki tiruan secara dalam talian terbongkar apabila pihak berkuasa menyerbu dua lokasi berasingan di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan berjaya merampas 232 unit alat tersebut dengan jumlah rampasan bernilai RM25,720.

Serbuan yang dilaksanakan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan Putrajaya itu dilakukan di sebuah rumah kediaman di Klang pada 5 Ogos dan di sebuah gudang di Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Shamsul Nizam Khalil berkata, kedua-dua operasi itu dijalankan hasil maklumat dan aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati terdapat peniaga menjual termometer disyaki tiruan di tapak pasar dalam talian.

“Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan termometer menggunakan jenama popular di pasaran dengan harga lebih murah daripada pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan menemukan sebanyak 166 termometer jenama terkenal disyaki tiruan di premis kediaman di Klang dan 66 unit lagi dalam pemeriksaan gudang di Bukit Jalil.

“Kesemua barang-barang tersebut kemudiannya disita dan keterangan dua lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik-pemilik premis terbabit telah diambil.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN