MELAKA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerima sebanyak 2,000 pendaftaran peniaga koperasi bagi perniagaan dalam talian dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, 500 peniaga peruncitan telahpun aktif memulakan perniagaan secara dalam talian, manakala 1,500 lagi dalam pelaksanaan.
“Kita telah melancarkan platform digital iaitu JiMATShop dan JiMATbiz pada pertengahan tahun lalu sebagai strategi memastikan survival perniagaan terutamanya peruncit dalam memasarkan barangan mereka.
“Setakat ini sebanyak 2,000 peniaga koperasi telahpun memilih untuk menggunakan platform e-dagang dan kita jangkakan seramai 1,000 lagi peniaga akan membuat permohonan sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri agihan sumbangan keperluan menerusi Projek BA100 kepada 500 ibu tunggal melalui Koperasi Ibu Bestari Melaka Berhad di Taman Pertam Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, proses peralihan itu juga dilakukan dalam kadar segera bagi memastikan peratusan peniaga koperasi yang terjejas tidak terus meningkat.
“Mengikut kajian dilakukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada awal tahun ini, terdapat sehingga 33 peratus koperasi di seluruh negara terjejas akibat penularan Covid-19.
“Jadi, Angkasa sedang berusaha mempercepatkan peralihan perniagaan ke dalam talian termasuklah mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan antaranya agensi pelancongan, agensi umrah, spa dan rumah inap desa,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Angkasa juga bersedia membantu menyalurkan barangan bernilai RM10,000 sebagai modal untuk para peniaga memasarkan barangan secara dalam talian.
Abdul Fattah berkata, mereka yang terlibat dalam perniagaan secara digital turut akan dibimbing bagi pengurusan perniagaan termasuk kaedah sistem pembayaran, pemasaran, pembukaan akaun dan penggunaan platfrom e-wallet. -UTUSAN ONLINE









