Komited rangka hala tuju KKMM lebih proaktif - Annuar - Utusan Malaysia

Komited rangka hala tuju KKMM lebih proaktif – Annuar

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa komited merangka hala tuju kementeriannya supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Annuar berkata, beliau menyedari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKKM) mempunyai peranan yang sangat penting terutama ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini berdepan cabaran untuk menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi selain keperluan pemerkasaan sektor digital.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin. Saya berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beliau turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan pelantikannya sebagai menteri.

Annuar berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri yang memilihnya sebagai anggota Kabinet.

“Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang saya wakili,” katanya.

Annuar adalah antara barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik semula bagi menganggotai Kabinet pimpinan Ismail Sabri yang sebelum ini memimpin Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Wilayah Persekutuan kini di bawah pimpinan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN