Kg. Luit kena PKPD punca kluster individu tiada selera makan - Utusan Malaysia

Kg. Luit kena PKPD punca kluster individu tiada selera makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seluruh penduduk Kampung Luit dalam Daerah Maran di Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula pada Rabu hingga 31 Ogos ini.

Perkampungan itu dilaksanakan PKPD susulan kes indeks tinggal di Batu 42 yang mengadu hilang selera makan selain mengalami gejala batuk, demam dan sakit tekak sejak 4 Ogos lalu.

Penduduk warga tempatan ini kemudian disahkan positif Covid-19 pada 10 Ogos lepas namun sudah mengakibatkan 19 individu kontak rapat termasuk keluarganya menghidap wabak itu.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, selebihnya ialah enam lokaliti lagi di Tawau, Sabah melibatkan Kampung Mentadak Baru, Kampung Sri Aman, Kampung Hidayat, Taman Semarak Jaya serta Lorong Damai dan Lorong Haji Marzuki di Jalan Damai.

Dalam pada itu, tambah Rodzi, dua lokaliti masing-masing terletak di Sarawak dan Pahang yang sepatutnya berakhir PKPD esok, namun disambung lagi membabitkan Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn, Mukah, Sarawak dan Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Daerah Raub, Pahang.

Bagaimanapun kata beliau, sejumlah 10 lokaliti di lima negeri ditamatkan PKPD serentak esok seperti dijadualkan antaranya ialah di Kampung Bintawa Hilir, Bahagian Kuching, Sarawak; manakala di Kelantan pula melibatkan dua lokaliti iaitu Kampung Tok Sadang, Mukim Badang, Jajahan Kota Bharu dan Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang, Jajahan Tumpat.

Begitu juga dua lokaliti lagi yang sudah lama dikenakan PKPD di Terengganu sejak 21 Julai lalu iaitu Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram dalam Mukim Bandi, Daerah Kemaman; selain di Pahang, empat lokaliti dalam Daerah Raub iaitu Kampung Bedu dan Kampung Pamah Kulat, Mukim Ulu Dong serta Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Raub.

Di Sabah, dua lokaliti dalam Daerah Beaufort, Bahagian Pedalaman turut tamat esok setelah dilaksanakan PKPD sejak 4 Ogos lalu iaitu di Kampung Selagon dan Kampung Binsulok. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN