PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 215 individu ditahan dengan kesemua mereka dikenakan kompaun hasil 82,244 pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 60 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan tersebut melakukan pemeriksaan ke atas 1,847 kilang, 13,919 premis perniagaan, 1,049 tapak pembinaan dan 318 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 28 pendatang tanpa izin turut ditahan dan tiga buah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, seramai 542 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 262,299 diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai 2020 lalu.
“Sejumlah 9,721 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 620 peruncit, 152 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,379 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati. – UTUSAN ONLINE










