KOTA KINABALU: Kemelut politik yang sedang berlaku mungkin akan memperlihatkan kerjasama bipartisan dibentuk di peringkat Persekutuan bagi meredakan ‘suhu’ politik tanah air.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, mungkin sudah tiba masa untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan yang mengenepikan agenda politik masing-masing bagi memberi fokus kepada proses pemulihan negara.
Beliau berkata, ketika ini lantikan Perdana Menteri interim antara pilihan yang ada meskipun Pilihan Raya Umum (PRU) adalah kaedah paling tuntas untuk menyelesaikan kemelut politik ini.
“Saya melihat kerajaan gabungan boleh berlaku sekiranya ada kesepakatan antara pemimpin merentasi parti politik.
“Keputusan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sebagai caretaker Perdana Menteri langkah tepat bagi memberi ruang kepada pembentukan kerajaan baharu.
“Saya percaya Agong sudah mempertimbangkan dengan sebaiknya berdasarkan lunas-lunas perlembagaan dan konflik politik yang berlaku. Keputusan yang dibuat ini pastinya demi kebaikan semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) UMS ini berkata, pada masa ini, Pakatan Harapan (PH) juga dilihat belum mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Tambah beliau, di peringkat negeri, beliau yakin pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kaedah dan kebijaksanaan tersendiri untuk menangani kemelut politik persekutuan ini.
“Kerajaan GRS akan kekal selagi tiada pemimpin negeri yang bertindak mengubah sokongan,” katanya.
Tengahari tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Agong.
Muhyiddin turut dilantik sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri yang baharu dilantik. – UTUSAN ONLINE










