PUTRAJAYA: Bimbang dengan lonjakan kes Covid-19 ketika ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan di Parlimen menggesa agar sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan.
Pengerusi kaukus itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah ini amat wajar meskipun Kementerian Pendidikan memberi jaminan guru akan menerima vaksin sebelum sesi bermula.
“Namun, para pelajar ini tidak pula divaksin dan mereka masih berpotensi untuk dijangkiti atau menjangkiti jika membawa virus itu tanpa sedar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau merujuk pengumuman kementerian itu pada 17 Julai lalu bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan kembali secara bersemuka mulai 1 September ini.
Bagaimanapun, setelah sebulan berlalu dan tinggal baki dua minggu sebelum sekolah dibuka semula, wabak itu melonjak drastik dengan semalam merekodkan angka tertinggi 21,668 kes.
Sesi bersemuka itu sepatutnya bermula pada 25 Julai lalu bagi negeri kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri kumpulan B, tetapi diubah kepada PdP Rumah (PdPR) sehingga 30 Ogos ini selepas cuti pertengahan tahun pada 13 Jun lalu sehingga cuti pertengahan penggal bermula 16 Julai.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, data Kementerian Kesihatan yang merekodkan 233,497 murid berusia 17 tahun ke bawah telah dijangkiti Covid-19 wajar dijadikan peringatan.
“Ini jelas membuktikan yang kelompok itu antara golongan sangat rentan berisiko selain tahap pematuhan disiplin kendiri pula agar sukar dipantau apabila berada di luar sekolah,” tegasnya.
Malah, beliau bimbang hampir lima juta murid berada dalam keadaan bahaya manakala ibu bapa juga pasti dalam dilema sama ada hendak menghantar atau tidak anak-anak ke sekolah.
Sesi bersemuka ini ujarnya, bagaimanapun mungkin boleh bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan peperiksaan awam lain untuk menghabiskan sukatan, namun, harus dipertimbangkan dengan teliti dan pihak kementerian wajar mengambil kira keadaan semasa agar tidak wujud lagi isu kluster institusi pendidikan. -UTUSAN ONLINE