Kami masih pilih beli bungkus - Utusan Malaysia

Kami masih pilih beli bungkus

PELANGGAN membeli makanan secara bungkus di sebuah restoran di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Walaupun kerajaan membenarkan  dine-in atau makan di kedai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun sebahagian besar peniaga makanan di bandar ini belum sedia menerima kehadiran pelanggan untuk makan di premis mereka.

Tinjauan Utusan di sini hari ini mendapati  pengusaha kedai makan  tetap memilih untuk membuat jualan secara bungkus kepada pelanggan kerana bimbang kes Covid-19 yang masih tinggi.

Pemilik kedai  makanan yang menjual nasi campur dan mi, Madiha Ahmad,  44, berkata, dia belum sedia untuk membenarkan pelanggan makan di dalam kedainya yang terletak di Jalan Utama, Padang Tembak di sini.

Menurutnya, ini kerana dia masih bimbang kerana kes jangkitan Covid-19 masih tinggi dan tidak mahu mengambil risiko jangkitan jika pelanggan dibenarkan makan dalam kedai.

“Saya memilih jualan secara bungkus, cara ini lebih selamat untuk mengelak jangkitan.

“Pelanggan pun ramai yang memilih pembelian secara bungkus dan mereka pun keberatan untuk makan dalam restoran. Jika makan di kedai, saya bimbang ada yang duduk lama kerana berbual dengan rakan-rakan.

“Buat masa ini biarlah saya jual makanan secara bungkus lagipun pelanggan sudah biasa beli bungkus, sekarang mereka seperti kekok pula nak makan dalam restoran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pelanggan juga tetap memilih membeli makanan secara bungkus dan keberatan untuk makan di dalam premis.

Pelanggan, Hisham Jumaat, 51, berkata, dia selesa dan sudah biasa membeli makanan secara bungkus apatah lagi cara itu lebih selamat berbanding makan di premis disebabkan kes Covid-19 yang masih tinggi.

Katanya, makan di dalam restoran memang menyeronokkan apatah lagi jika bersama kawan-kawan namun dia lebih memikirkan soal keselamatan diri.

“Buat masa ini biarlah saya beli makanan secara bungkus saja untuk mengelak jangkitan kepada keluarga apatah lagi kes masih tinggi,” katanya.

Seorang lagi pelanggan,  Mohd. Rosli Mohd. Isa, 48, menyokong tindakan pengusaha makanan yang masih tidak membenarkan premis mereka menerima pelanggan secara dine-in.

Katanya, pembelian makanan secara bungkus tidak sukar apatah lagi selama beberapa bulan masyarakat sememangnya membeli makanan dengan cara seperti itu.

“Biarlah beratur panjang membeli bungkus dan bawa balik makan bersama keluarga,  itu lebih selamat tidak perlu bimbang.

“Jika makan di premis pun bukan boleh duduk lama. Lagi pun kalau makan beramai-ramai, biasanya akan bersembang panjang dan bahaya jangkitan boleh tersebar satu kedai,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN