Jangan terus hukum 779 guru tolak vaksin, cari penyelesaian terbaik - Utusan Malaysia

Jangan terus hukum 779 guru tolak vaksin, cari penyelesaian terbaik

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) tidak seharusnya terus menghukum 779 guru di negeri ini yang menolak untuk menerima suntikan vaksin, sebaliknya perlu mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu berkenaan.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, punca warga pendidik itu berbuat demikian perlu diketahui supaya permasalahan dapat dirungkai.

“Pasti ada cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekiranya mereka menolak bukan kerana anti vaksin tetapi mungkin atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan seperti alahan, kehamilan atau sebagainya.

“Apa yang penting, diharap mereka tidak ingkar perintah, ini kerana bagi penjawat awam, pasti mereka terikat dengan etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan yang perlu akur dengan arahan kerajaan.

“Namun, sekiranya warga pendidik ini sengaja mahu membelakangkan arahan tanpa sebab rasional, maka Pendidik menyokong jika Pengarah JPNJ mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

Sebelum itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan akan berjumpa Pengarah Pendidikan Negeri dan guru terlibat di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan di sini, Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Normala memberitahu, warga pendidik perlu sedar risiko sekiranya mereka menolak vaksin kerana akan membahayakan pelajar apatah lagi mereka di sekolah rendah kerana tahap imuniti tidak sama dengan golongan dewasa.

“Guru-guru sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar, ibu bapa serta masyarakat dan dibimbangi penolakan mereka akan disalah tafsir malah menjadi ikutan untuk rakyat tidak mengambil vaksin.

“Justeru itu, sesi kaunseling, penerangan dan langkah sewajarnya perlu dilakukan segera untuk 779 guru terbabit supaya tiada sebarang masalah berlaku apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober nanti,” ujarnya.

Pihaknya juga berharap pertemuan mereka dengan Tunku Ismail dapat berlangsung dalam suasana muhibah dan pencerahan dapat dibuat punca mereka menolak vaksin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN