PETALING JAYA : Jangan demi mengejar kuasa sehingga penyakit rasuah dibiarkan berleluasa.
Demikian ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan isu politik tanah air membabitkan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Oleh demikian Ahli Parlimen Marang itu berkata semua parti politik wajar menerima tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara positif di dalam memberikan kepercayaan kepada Kerajaan PN agar menyelesaikan masalah dihadapi negara pada masa kini.
“Wabak rasuah juga terdapat titik persamaan yang tidak boleh diterima. Maka, janganlah didahulukan untuk mendapatkan kuasa sehingga punca penyakit rasuah dibiarkan berkuasa lagi.
“Maka tawaran Perdana Menteri kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan bersama terhadap kerajaan terkini supaya memberikan masa untuk menyelesaikan masalah, sepatutnya diterima secara positif.
“Setelah kita mengalami kemelut kerajaan dahulu yang bermasalah sepatutnya kita memberikan masa kepada kerajaan hari ini agar dapat menyelesaikan masalah bersama,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengemukakan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya terdapat beliau mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat.
Kata Muhyiddin, ia membabitkan tujuh perkara termasuk pindaan perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen jika mendapat sokongan non partisan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, selepas keadaan mengizinkan, maka selepas itu barulah dikembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa.
“Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul,” jelas beliau.
Ujar beliau lagi, cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah sehingga dibejati dengan penyakit rasuah dan kemudian rakyat membuat perubahan kepada sebuah kerajaan yang menawarkan pelbagai janji sehingga berani merombak asas Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Islam dan akhirnya telah dijatuhkan.
Abdul Hadi menjelaskan, pendekatan menghulur tangan dengan mengajak semua pihak tanpa mengira kerajaan sahaja demi menyelesaikan masalah darurat musibah dan bencana sepatutnya diselesaikan secara kemanusiaan tanpa mempedulikan perbezaan dan hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja.
Tambah beliau, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja tidak akan memperdulikan keadaan rakyat yang perlu diselamatkan sekarang.
“Maka kalangan yang menolak pelawaan untuk bersatu padu menyelamatkan rakyat dan negara, demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat,” jelas beliau.- UTUSAN ONLINE










