CYBERJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan membuat perubahan terhadap keperluan jam pembelajaran pelajar sekurang-kurangnya 70 ke 80 peratus, bergantung kesesuaian bidang program sebagai memenuhi keperluan kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kelonggaran itu diberikan dengan syarat IPT yang berkenaan melengkapkan semua komponen body of knowledge (BoK) termasuk penilaian berdasarkan keperluan hasil pembelajaran yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu hanya terpakai untuk semester yang terkesan akibat arahan PKPD atau situasi kecemasan yang diumumkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, IPT boleh menyediakan aktiviti pengukuhan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta meningkatkan kompetensi pelajar terhadap topik atau kursus tertentu setelah keadaan mengizinkan.
“Bagi aspek penilaian pelajar pula, IPT boleh mengubah suai penilaian kursus merangkumi penilaian berterusan dan penilaian akhir yang dijajarkan dengan hasil pembelajaran yang ditetapkan, seterusnya memastikan aspek validity, reliability dan fairness dipelihara semasa penilaian dilaksanakan.
“Pengubahsuaian penilaian perlu mengambil kira kekerapan penilaian selaras situasi semasa pelajar,” katanya ketika mengulas Advisory Note No 5/2021 mengenai Fleksibliti Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan MQA hari ini.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Sistem Pengurusan Pertanyaan dan Aduan di https://www2.mqa.gov.my/sppa/pertanyaan.cfm, manakala rujukan Advisory Note itu dan yang sebelumnya boleh dicapai menerusi alamat https://www.mqa.gov.my/pv4/bm/mqa_covid21.cfm
Mohammad Shatar berkata, pihaknya berharap IPT dapat memanfaatkan fleksibiliti yang diberikan dengan menggunakan kreativiti masing-masing bagi mengurangkan beban pelajar yang sebelum ini dilaporkan menghadapi pelbagai cabaran ketika mengikuti PdP dalam talian, namun pada masa sama tetap mengikuti piawaian kualiti ditetapkan MQA.
Beliau berharap tidak timbul lagi isu pelajar bosan ketika mengikuti PdP kerana staf akademik digalakkan mengajar secara kreatif dan seimbang supaya pelajar dapat mengadaptasi kaedah pembelajaran baharu dengan berkesan serta tidak hanya tertumpu pada skrin peranti elektronik.
“Staf akademik boleh mempelbagaikan bahan pembelajaran yang tidak terhad kepada modul kursus, tetapi turut melibatkan bahan pembelajaran dalam talian, YouTube, video dan menyediakan rakaman audio digital atau podcast yang boleh menjadikan PdP lebih menarik.
“Ini akan turut membantu mengurangkan tekanan akibat tumpuan kepada skrin peranti elektronik yang panjang serta memberi lebih ruang pembelajaran kendiri oleh pelajar,” katanya.- UTUSAN ONLINE