PORT DICKSON: Juraian meteor Perseids dapat dilihat menerangi angkasa dekat sini bermula pukul 10.30 malam semalam sehingga awal pagi.
Ketua Unit Baitul Hilal, Muzamir Mazlan berkata, tempoh tersebut merupakan malam kemuncak fenomena berkenaan namun keadaan awan agal tebal ketika itu.
“Bagaimanapun, kami dapat melihat terdapat kemunculan beberapa kali juraian meteor sejak pukul 10.30 malam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan cerapan di Balai Cerap Baitul Hilal, Port Dickson semalam.
Balai Cerap Baitul Hilal bersama Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Sembilan melaksanakan cerapan meteor berkenaan selama dua malam berturut-turut.
Nama Perseids adalah merujuk kepada titik kemunculan pancuran meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.
Pancaran meteor Perseids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
Sementara itu, jelas Muzammir, aktiviti pencerapan juga boleh dilakukan sehari sebelum dan hari kemuncak sekiranya langit malam tidak berawan bagi meningkatkan peluang untuk melihat meteor Perseids.
“Pancuran meteor Perseids selalunya bersinar dengan terang dan mudah dilihat sekiranya cuaca baik dan boleh menyaksikan fenomena itu hanya dengan menggunakan mata kasar dari lokasi yang gelap dan bebas pencemaran cahaya,” katanya.
Terdapat beberapa lokasi yang sesuai di Port Dickson untuk melihat meteor Perseids seperti di Pasir Panjang, Teluk Pelandok, Sungai Sekawang dan Kampung Orang Asli Bukit Kepong. Juraian meteor dijangka berlaku lagi pada bulan Disember.
Fenomena sama turut dapat dilihat di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN ONLINE










