PUTRAJAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) bersedia menjadikan banyak fasiliti milik anggotanya itu di luar Lembah Klang sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Presiden APHM, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ia susulan arahan penutupan PPV di semua hospital swasta di Lembah Klang dalam bulan ini termasuk premis PPV berskala mega.
“Ketika ini, kesemua pengendali akan fokus penambahan vaksinasi di luar Lembah Klang selain pemindahan para pesakit bukan Covid-19 dari hospital awam yang sesak,” katanya.
Baru-baru ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengarahkan hospital swasta di Lembah Klang tidak lagi dijadikan PPV menjelang akhir bulan ini yang meliputi klinik swasta.
Mengulas lanjut, Kuljit bagaimanapun merakamkan terima kasih kepada CITF yang memberi peluang banyak premis swasta dijadikan PPV untuk penduduk setempat di Lembah Klang termasuk Protech Health Sdn. Bhd., agensi di bawah Kementerian Kesihatan serta pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Inisiatif khas ini bahkan membolehkan ramai anggota persatuan kami memberi vaksinasi kepada hampir 1.5 juta individu lengkap dua dos termasuk bukan warganegara,” jelasnya.
Pada masa sama, APHM akur dengan keputusan CITF dan tidak berhasrat mempertikaikan langkah penutupan PPV dikendalikan hospital swasta di Lembah Klang dalam masa terdekat, sebaliknya, mereka menyokong penuh arahan tersebut selaras dengan dasar kerajaan dalam isu strategi pengurusan wabak Covid-19 di samping pelaksanaan program vaksinasi nasional.
APHM bahkan kata Kuljit, akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi menjayakan misi imuniti berkelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE