Hiasi motosikal dengan Jalur Gemilang, potret bapa - Utusan Malaysia

Hiasi motosikal dengan Jalur Gemilang, potret bapa

M. Gunaselan menunjukkan gambar mendiang bapanya yang dibawa bersama motosikal miliknya yang telah dihias dengan Jalur Gemilang ketika ditemui di Taman Rekreasi Tampin, Tampin semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Menghiasi kenderaan dengan Jalur Gemilang mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi orang ramai untuk menzahirkan semangat patriotisme mereka terutama ketika sambutan Bulan Kemerdekaan ketika ini.

Namun, bagi seorang pesara kerajaan, M. Gunaselan, 58, sejak tiga tahun yang lalu, dia bukan sahaja menghias motosikal jenis Honda C70 miliknya dengan Jalur Gemilang, malah, turut membawa potret mendiang bapanya, P.Marimuthu yang pernah bertugas sebagai askar British menentang komunis di negara ini.

“Potret itu ketika mendiang memakai seragam askar British, bapa saya sudahpun meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, tapi dia pernah kongsi kisah semasa berkhidmat sebagai askar British di Kuala Kubu Bharu, Selangor, dalam operasi menumpaskan komunis.

“Dalam operasi berkenaan, ayah terkena tembakan komunis, jari manis tangan kanan ayah bengkok disebabkan tembakan berkenaan. Walaupun kisah berkenaan bukanlah kisah manis, namun, ia merupakan bukti darah pejuang serta kenegaraan yang ada pada keluarga kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Rekreasi Tampin, di sini, semalam.

Sementara itu, menurut Gunaselan, apa yang dilakukannya iaitu dengan menghias motosikal lamanya itu dengan Jalur Gemilang adalah bagi menunjukkan perasaan sayang serta cintanya pada negara serta mengimbau kenangan manis zaman kecil dahulu.

“Kita duduk di Malaysia, beli rumah bernilai ratusan ribu, berkereta mewah, tetapi, sedihnya semangat kenegaraan kita tidak tunjukkan terutamanya apabila tiba sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Saya lihat tiada satu bendera pun dikibar di kenderaan masing-masing. Semasa zaman saya kecil-kecil dulu, saya dengan rakan-rakan Melayu, Cina akan cari buluh untuk dipotong dan diikat di basikal masing-masing bersama bendera,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu pejabat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Tampin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Indah dekat sini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN