Gerobok Rezeki Hotel Primula bantu penduduk terkesan PKP - Utusan Malaysia

Gerobok Rezeki Hotel Primula bantu penduduk terkesan PKP

KAKITANGAN Hotel Primula menyerahkan barangan keperluan harian kepada pihak jawatankuasa Masjid Seberang Takir sempena program Gerobok Rezeki yang diperkenalkan hotel itu di Kuala Nerus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Walaupun terkesan dengan impak pandemik Covid-19, ia tidak menghalang hotel milik kerajaan negeri, Hotel Primula untuk memperkenalkan program Gerobok Rezeki bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan orang ramai di sekitar daerah ini, Kuala Nerus dan Marang mendapatkan bekalan barangan keperluan harian secara percuma.

SUAIBAH HARUN

Katanya, sejak dilaksanakan awal bulan ini, bantuan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula, sardin dan lain-lain sudah diagihkan ke tiga lokasi iaitu Surau Tahfiz Darul Ulama, Masjid Jamek Kampung Paloh dan Masjid Kampung Seberang Takir.

“Kita terpanggil untuk menggerakkan inisiatif ini kerana prihatin dengan nasib golongan  yang kehilangan punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekurang-kurangnya dapatlah mereka dan keluarga meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh getir ini.

“Menariknya, kesemua barangan yang dikumpul ini adalah sumbangan warga kerja Hotel Primula dan saya kagum dengan komitmen kakitangan walaupun kami sendiri terhimpit dengan impak Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam

Suaibah berkata, sumbangan barangan itu kemudian dihantar ke surau dan masjid terpilih dengan urusan pengagihan kepada golongan sasar diserahkan kepada pihak jawatankuasa institusi agama berkenaan.

Katanya, usaha yang digerakkan Hotel Primula itu diharap dapat menyuntik semangat rakyat Malaysia untuk turut sama menyumbang kepada golongan memerlukan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN