KLANG: Cubaan satu sindiket penyeludupan besi menerusi 57 kontena bernilai RM9.6 juta berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, di sini, baru-baru ini.
Rampasan antara 29 Jun hingga 2 Julai lalu itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor).
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, taktik itu dikesan selepas pihaknya menerusi Operasi WAJA menjalankan pemeriksaan ke atas semua kontena tersebut.
Katanya, semakan lanjut mendapati kontena itu sudah diikrar sebagai Nickel Steel Plate in Coil dan Hot Rolled Stainless Steel Coils.
“Kedua-duanya didapati tanpa perlu mengemukakan Permit Import bagi mengelak Duti Import dan Duti Anti-Lambakan sekali gus dikesan oleh JKDM.
“Besi diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Keempat/ Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Abdul Latif, rampasan tersebut bernilai RM6.1 juta manakala cukai dianggarkan berjumlah RM3.5 juta.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelak duti kastam dan larangan import di bawah bawah Seksyen 135(1)(a) akta tersebut.
“Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala, kesalahan kedua atau berikutnya memperuntukkan denda sehingga tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Tambah Abdul Latif, pihaknya turut sedang menyiasat pengimport dan ejen Kastam yang terlibat dalam cubaan menyeludup keluar kontena berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan terutama rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
“Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE