MELAKA: Ramai peniaga kedai makan di Melaka seperti tidak teruja untuk membuka premis masing-masing walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri memberi kebenaran makan dalam premis (dine-in) mulai Sabtu, minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi seperti di Medan Selera Pantai Klebang A dan B, Jalan Hang Tuah, Medan Selera Lek luuu, Bukit Rambai, Medan Selera Samudera, Plaza Mahkota dan Melaka Raya mendapati, terdapat banyak premis masih belum dibuka sepenuhnya.
Majoriti yang beroperasi pula hanya untuk bungkus dan bawa pulang.
Seorang peniaga makanan barat di Medan Selera Samudera di Banda Hilir, Mohamad Nurul Iman Anuar mengakui, dia masih keliru berhubung kebenaran dine-in dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitannya.
Katanya, dia berasa pelik melihat situasi terkini memandangkan rata-rata restoran masih menjual untuk bawa pulang sahaja.
“Keliru dengan itu, saya hubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, mereka bagi tahu makan di dalam kedai masih tidak dibenarkan lagi.
“Saya buka berniaga seperti biasa tetapi tidak buka untuk dine-in. Saya dan tiga pembantu kedai semua telah lengkap suntikan vaksin dua dos,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, bagi pemilik restoran Asam Pedas TJ, Jalil Ahcin, 65, dia belum berhasrat membuka premisnya untuk pelanggan makan di kedai buat sementara waktu.
“Saya perlu teliti SOP dahulu, kadang-kadang saya pun pening sebab banyak sangat perkara-perkara penting tidak diketahui. Jadi buat sementara ini saya beroperasi untuk bungkus dan bawa balik,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai Asam Pedas Zaiton di Plaza Mahkota, Zarul Ziman Mohamad Nor berkata, dia melahirkan rasa lega dengan kelonggaran terkini diberikan kerajaan.
Katanya, ini kerana, sudah hampir empat bulan restorannya ditutup, lantas menyebabkan bebanan apabila duit simpanan telah habis diguna.
“Saya harap kali ini restoran dibenar beroperasi dengan SOP yang ketat tidak lagi diarah tutup. Jika diarah tutup kali ini, saya kena tawakal untuk mencari sumber rezeki lain. Empat bulan cukup memeritkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










