PETALING JAYA: Inisiatif membantu mereka yang memerlukan terus digerakkan bagi meringankan beban rakyat yang hilang pendapatan dan sedang melalui kesukaran dalam menjalani kehidupan termasuk mereka yang sedang menjalani kuarantin dirumah.
Antara program yang diperkenalkan untuk tujuan itu ialah Dapur Khidmat yang merupakan inisiatif kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Gerak Khidmat Rakyat Malaysia (KHIDMAT) dan Yayasan J’Keb Malaysia yang bergerak membuat agihan makanan siap dimakan secara percuma di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

Pengerusinya Datin Paduka Che Asmah Ibrahim menggerakkan pelbagai inisiatif bantuan termasuk bantuan makanan panas, ikan dan sayuran segar dan pek emergency grocer untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan juga PKPD.

“Dapur Khidmat NGO KHIDMAT memberi bantuan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,bangsa dan agama,”ujarnya.
Beliau berkata, Dapur Khidmat Fasa Pertama telah dijalankan bermula 9 Julai hingga 14 Julai lalu.
Katanya, dalam Fasa Pertama ini, lebih kurang 600 bungkus edaran makanan panas, 600 botol air mineral dan 600 bungkus roti krim percuma telah diagihkan di enam kawasan sekitar Semenyih, Serdang, Shah Alam, Kuala Langat dan Lembah Pantai.
Pada 17 Julai lalu , sebanyak 200 bungkus nasi lemak, roti krim dan air mineral telah diedarkan oleh NGO Khidmat dengan kerjasama Yayasan J’Keb hasil sumbangan Groove Grocer kepada kakitangan barisan hadapam dan pesakit yang datang untuk membuat pemeriksaan ujian Covid 19 di Pusat Penilaian Pesakit (PAC) Hospital Ampang.
Rezeki tersebut juga turut dikongsi oleh staf yang bertugas bersama dengan pesakit yang positif Covid-19 di pusat ini yang terdiri daripada ibu-ibu yang mengandung.
“Dapur Khidmat diteruskan pada awal bulan Ogos bermula 4 hingga 9 Ogos lalu, setelah mendapat makluman berkaitan beberapa kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan yang telah terputus bekalan makanan dan minuman.
Alhamdulillah sebanyak 900 bungkus makanan, 400 bungkus kek mini ulker dan 500 botol air mineral telah diaggihkan. Salah satu tempat yang telah mendapat sentuhan Dapur Khidmat adalah di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Stadium Titiwangsa yang menerima bekalan sebanyak 150 pek makanan panas kepada petugas dan pesakit yang menjalankan ujian Covid 19 di sana.
Gerakan menyantuni mereka yang terkesan diteruskan pada 7 Ogos apabila Che Asmah bersama Norazian Ainidin mewakili NGO Khidmat turun padang dan membuat agihan makanan dan minuman kepada CAC Titiwangsa dan juga telah bersama dengan petugas di PAC Hospital Ampang menyampaikan sebanyak 500 botol air minuman kepada petugas dan pesakit.
Maka dengan itu NGO KHIDMAT amat menghargai penglibatan Yayasan J’Keb yang membantu menjayakan projek Dapur Khidmat ini.
“Terima kasih juga diucapkan kepada penyumbang terdiri dari Grove Grocer, Dolly Dim Sum dan Prudential BSN Takaful yang menjayakan program Dapur Khidmat melalui kerjasama dengan Yayasan J’Keb Malaysia,” ujarnya.
Dapur Khidmat boleh dihubungi melalui talian WhatApps 013 914 6416. – UTUSAN ONLINE