KOTA KINABALU: Keloggaran membuka sektor ekonomi merupakan didakwa satu tindakan berunsur sabotaj terhadap kerajaan yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Perikatan Nasional (PN).
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mendakwa melihat tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan menyebabkan jangkitan wabak Covid-19 semakin teruk.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin mendakwa, ketika Muhyiddin mengakui beliau sudah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, secara prinsipnya beliau tidak boleh melaksanakan banyak perkara sebagai Perdana Menteri.
“Pada pandangan saya pengumuman kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi di negeri-negeri dalam Fasa 1 PPN adalah tindakan berunsur sabotaj secara jelas.
“Ketika keadaan negara sangat kritikal beliau (Muhyiddin) memberikan kelonggaran yang memungkinkan kes jangkitan wabak Covid-19 semakin serius. Tindakan beliau juga mungkin disengajakan bagi menggagalkan pelan pemulihan oleh kerajaan berikutnya.
“Sektor ekonomi yang baharu sahaja dibenarkan beroperasi ini pastinya akan diarahkan tutup semula apabila jangkitan semakin teruk dan peniaga pasti akan marah kepada kerajaan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengumuman memberi kelonggaran itu tidak mengejutkan kerana PN sejak dari dulu memang tidak konsisten bagi menguatkuasakan sesuatu pelan mahupun prosedur operasi standard (SOP).
Malah, PPN yang diumumkan sebelum ini juga dilihat tidak mempunyai perancangan rapi hingga menyebabkan ia gagal mengawal peningkatan kes harian Covid-19.
Jika dilihat kembali, sebelum kelonggaran diberikan, kes harian Covid-19 berada di bawah paras 4,000 kes sehari. Namun, sekarang kes sudah mencecah 20,000 kes sehari dengan kematian pada paras 200 kes.
Jelas Razeef, pembukaan sektor-sektor ekonomi mungkin akan menyebabkan peningkatan mendadak kes harian Covid-19.
“Maka pada hemat saya tindakan Muhyiddin ini seolah-olah satu cubaan sabotaj kepada kerajaan berikutnya yang boleh melumpuhkan keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara.- UTUSAN ONLINE










