PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas cuba memasuki Bangunan Parlimen semalam bagi meneruskan hari terakhir Sidang Khas Dewan Rakyat walaupun Pejabat Parlimen mengumumkan penangguhan mesyuarat itu ekoran penularan kes Covid-19.
Berikutan beberapa jalan utama memasuki Parlimen ditutup, ahli Parlimen terlibat terlebih dahulu berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Bangunan Dewan Rakyat yang terletak kira-kira tiga kilometer.
Sebelum berarak, beberapa pemimpin utama yang juga merupakan ahli Parlimen berucap antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta ahli Parlimen Bebas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Walaupun ibu negara masih berada fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ekoran situasi kes Covid-19 yang membimbangkan, blok pembangkang diketuai Pakatan Harapan (PH) tetap berarak ke Parlimen bermula dari Dataran Merdeka dengan mereka dilihat tidak mematuhi penjarakan fizikal antara satu sama lain.
Guan Eng dalam ucapannya berkata, tujuan ahli Parlimen pembangkang dan bebas mahu ke Parlimen semalam bukan untuk membuat undi tidak percaya kepada Muhyiddin, sebaliknya ingin membincangkan masalah berkaitan rakyat.
“Ada yang takut pergi Parlimen kerana Covid-19. Saya pun takut sungguh pun sudah lengkap divaksinasi tetapi kita lebih takut dengan masa depan anak bangsa, mangsa terkorban dan yang hilang pendapatan.
“Kita mahu ekonomi dibuka semula, itu yang kita mahu bawa ke Parlimen tetapi dihalang Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.
Selepas itu mereka cuba berarak ke Bangunan Parlimen bermula dari padang Dataran Merdeka dengan membawa poster ‘Mahiaddin dan Kabinet Letak Jawatan’ melalui satu laluan berhampiran Padang Merbok.
Namun usaha wakil-wakil rakyat pembangkang itu dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan kawalan ketat di samping beberapa lori yang bersiap sedia bagi mengawal keadaan.
Anwar dan Guan Eng kemudian cuba berunding dengan pegawai polis, namun usaha itu gagal dan menyebabkan mereka akhirnya bersurai dan Presiden PKR memaklumkan walaupun pihaknya akur dengan arahan polis, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk melawan kerajaan PN.
“Kita bersurai secara aman bagi menghormati peraturan negara. Kita bukan macam PN langgar demokrasi dan halang kita bersidang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu berkaitan yang terlibat dalam perhimpunan di sekitar ibu negara selepas usaha memasuki Bangunan Parlimen dihalang polis.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) setelah susulan dua laporan polis diterima pihaknya setakat ini berhubung perhimpunan tersebut.
“Ada yang kata seramai 107 orang menyertai perhimpunan tetapi saya belum diberi taklimat mengenainya
“Kita akan jalankan siasatan sebelum merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya mendapat maklumat awal ada pihak akan mengadakan perhimpunan ‘Solidariti Bersama Anwar’ di Parlimen semalam.
“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati tiada persidangan di bangunan terbabit jadi sekatan dan lencongan dibuat polis bagi tidak membenarkan kenderaan atau individu memasuki masuk ke kawasan Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE










