Cikgu Jamal simpan salinan Proklamasi Hari Merdeka - Utusan Malaysia

Cikgu Jamal simpan salinan Proklamasi Hari Merdeka

JAMAL AHMAD menunjukkan Pemasyhuran atau Proklamasi Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dalam tulisan jawi yang disimpannya di Galeri Antik Astana Wajo di Kampung Serkat, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Mula berjinak-jinak dengan aktiviti mengumpul duit syiling lama pada usia 16 tahun mendorong seorang bekas guru untuk terus menyimpan pelbagai barangan lama atau antik yang berusia lebih 50 tahun.

Jamal Ahmad, 56, berkata, bermula pada usia tersebut, dia mula berminat dengan pelbagai barangan termasuk bahan-bahan yang berkaitan dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Katanya, kini terdapat kira-kira 100 jenis barangan yang berkaitan sambutan Hari Kemerdekaan seperti gelas, cawan, pinggan, majalah lama, sampul surat hari pertama dan pelbagai barangan lagi.

Namun, barangan yang dianggap paling bernilai oleh bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat itu sudah tentu salinan pertama warkah pemasyhuran atau Proklamasi Hari Kemerdekaan yang dibeli dengan harga RM2,000.

“Warkah ini saya beli daripada pengumpul bahan-bahan lama di Kuala Lumpur lima tahun lalu yang ditulis dengan tulisan jawi sempena Kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu.

“Warkah pemasyhuran atau Proklamasi Kemerdekaan itu turut diedarkan kepada penghulu-penghulu dan ketua-ketua masyarakat pada masa itu bagi memberitahu anak-anak buah mereka di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Serkat, semalam.

Tambah Jamal, terdapat juga akhbar Malaya Merdeka yang diterbitkan pada hari tersebut selain piring yang memaparkan gambar Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dibuat di Singapura.

“Selain tulisan jawi, terdapat juga tulisan Inggeris, Tamil dan Bahasa Melayu pada warkah pemasyhuran itu dengan salinan asal dikatakan bernilai RM55,000,” ujarnya.

Katanya, bagi mengumpul semua bahan-bahan lama selain barangan berunsurkan kemerdekaan, dia mewujudkan Galeri Antik Astana Wajo bagi memberikan ruang kepada orang ramai untuk melihat barang-barang yang disimpan.

“Terdapat kira-kira 400 hingga 500 pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, perhiasan, pakaian, model motosikal, kereta permainan yang dibuat daripada besi, bekas tin Milo, Dumex dan kotak menyimpan rokok,” ujarnya.

Menurut Jamal, selain membeli daripada pengumpul, ada barangan yang diperoleh daripada orang lama yang tidak digunakan serta pencarian di beberapa lokasi seperti Kepulauan Riau di Indonesia, Singapura selain di dalam negara sendiri.

Jelasnya, galeri yang dibuka percuma kepada orang ramai turut menerima kunjungan pengkaji budaya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun individu yang berminat dengan barangan antik atau lama.

“Galeri ini terbuka kepada semua pihak untuk melihat lebih dekat bahan-bahan yang mempunyai kesan peninggalan sejarah kepada negara yang jarang ditemui ketika ini,” ujarnya yang berharap barangan itu dihargai oleh generasi hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN