PETALING JAYA: Perlembagaan menetapkan bahawa pemilihan Perdana Menteri adalah berasaskan suara ahli-ahli Dewan Rakyat dan bukannya suara parti, tetapi, ketua parti boleh dipanggil bagi mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat dalam parti masing-masing.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, proses pelantikan perdana menteri adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 43(2)(a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.
Bagaimanapun, katanya, bagi parti yang mempunyai perbezaan dalaman dari sudut sokongan kepercayaan, suara ketua parti berkenaan tidak dianggap mewakili keseluruhan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam parti mereka.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak sehaluan dengan ketua (parti) itu boleh menyembah maklum kehendak mereka sama ada secara individu atau secara berkumpulan.
“Misalnya, dalam UMNO, selepas Presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengumumkan penarikan balik sokongan mewujudkan dua kumpulan.
“Majoriti juga ahli-ahli Dewan Rakyat di dalam parti itu tidak bersama dengan Ahmad Zahid, maka, dalam hal ini, suara Presiden UMNO tidak mewakili keseluruhan 38 ahli Dewan Rakyat dari UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Semua ketua parti politik akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok, dipercayai ada kaitan dengan perbincangan berhubung bakal Perdana Menteri kesembilan.
Menurut Muhammad Fathi, kemungkinan besar kaedah pertemuan bersama setiap ahli Parlimen tidak dilaksanakan kerana risiko jangkitan Covid-19, namun, prinsip Perlembagaan yang meletakkan rujukan utama kepada suara ahli Parlimen berbanding suara parti tidak boleh diketepikan dalam amalan demokrasi.
“Kita berharap semua pemimpin parti bersikap jujur dalam menyembah maklum pandangan ahli-ahli Parlimen dari parti masing-masing.
“Kita juga yakin dengan kebijaksanaan Seri Paduka dalam memastikan keputusan yang dibuat benar-benar menepati kehendak ahli-ahli Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE