PASIR PUTEH: Pesara tentera dari Kampung Kelubi di sini menunaikan nazar dengan membotakkan kepalanya malam semalam sebaik sahaja Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia semalam, Mohd. Solahuddin Ahmad, 48, berkata, selepas menonton berita di televisyen, dia segera mengambil mesin pencukur rambut dan membotakkan sendiri kepalanya
Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang `lemas’ melihat kemelut politik berpanjangan, dia berasa lega dan gembira apabila perebutan kuasa untuk memegang teraju kepimpinan berakhir.
“Saya tiada kepentingan politik, cuma rasa gembira kerana masalah politik negara sudah berakhir,” kata bekas anggota Batalion Pertama Rejimen Sempadan, Kem Batu 11, Tanah Merah dan bersara dengan pangkat koperal, kira-kira tujuh tahun lalu.
Juruteknik di sebuah syarikat jualan mesin tempatan itu juga berkata, dia bukan taksub mana-mana parti politik mahupun individu, sebaliknya hanya seorang rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ditadbir urus dengan baik.
“Diharap Perdana Menteri baharu ini kelak dapat memimpin negara dalam tempoh sukar terutama membawa Malaysia keluar daripada ancaman pandemik Covid-19 sekali gus meneruskan agenda membangunkan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










