SHAH ALAM: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan nyawa pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) daripada rentung di kediaman mereka di Kota Kemuning di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-kedua mangsa berusia 31 dan 39 tahun yang pekak dan bisu ditemui terperangkap di bilik air rumah dua tingkat tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.17 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 11 minit kemudian.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran memusnahkan 50 peratus bahagian bawah rumah berkenaan.
“Anggota bomba kemudian berjaya menemukan pasangan suami isteri itu di dalam tandas dan segera menyelamatkan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, mangsa wanita mengalami sesak nafas dan diserahkan kepada pihak kesihatan untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, pihaknya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran tersebut.
“Punca dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE