PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa memohon kepada semua di atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangannya selama berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau amat faham dan sedar terhadap kekurangannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana merupakan insan biasa yang sudah tentu tidak sunyi daripada kesilapan.
“Saya mendoakan kesejahteraan yang berkekalan buat semua warga Wilayah Persekutuan. Semoga semua warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira kaum atau agama serta status kehidupan mesti terus dijaga dan dibela.
“Semoga kita dilindungi Allah, dikurnia ketahanan dan imuniti kelompok menghadapi tularan virus Covid-19 dan lainnya. Semoga kehidupan ekonomi, sosial dan keselamatan warga terus pulih,” kata beliau dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, beliau meminta semua pihak agar kekal tenang dan berlapang dada kerana semua keputusan secara adalah bersama.
“Yang penting, kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang undang dan Perlembagaan negara. Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat.
“Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










