IPOH: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu amat terkilan dengan gerakan politik yang dilakukan oleh beberapa Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika rakyat terus menderita akibat pandemik Covid-19, masih ada dalam kalangan Ahli Parlimen terbabit meneruskan agenda politik demi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, ini sekaligus menolak keutamaan kepada sebarang usaha untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang lebih penting dihadapi negara ketika ini.
Katanya, beliau menyokong penuh kepimpinan kerajaan kini yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan dalam berdepan situasi kritikal.
“Saya berpendapat ini bukan masanya untuk bertindak demi kepentingan diri sendiri.
“Rakyat ternyata muak dan bosan dengan senario politik negara. Lebih mengecewakan apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen terbabit, sanggup memperjudikan nasib rakyat demi kelangsungan karier politik mereka tanpa sedetik pun mendahulukan kesejahteraan negara dalam menangani pandemik yang melanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, program vaksinasi Covid-19 yang berjalan ketika ini telah terbukti mencapai kepantasan rekod dengan purata 500,000 dos sehari.
Menurutnya, negara juga disifatkan berada di landasan yang betul untuk memastikan semua rakyat menerima vaksin menjelang akhir Oktober.
“Kadar kemasukan pesakit ke hospital akan menurun apabila semakin ramai yang mendapat vaksin.
“Pengorbanan barisan hadapan yang bertugas tanpa henti juga perlu diberi perhatian dalam berdepan waktu yang sukar ini,” katanya.
Menurutnya, justeru itu, sebarang usaha untuk beberapa bulan mendatang adalah kritikal bagi memastikan negara terus dilindungi dari penularan pandemik Covid-19.
Katanya, sebarang langkah politik perlu diketepikan buat masa ini, demi keselamatan rakyat dan negara.
“Untuk itu, saya memohon kepada semua rakan Ahli Parlimen untuk meneruskan khidmat usaha dengan menjalankan kewajiban dan tugas hakiki dalam bersama melindungi rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN










